ZA
PFM SERTAI SESI LIBAT URUS CyCORE BAGI MEMBANTERAS CETAK ROMPAK DIGITAL
Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) telah menyertai Sesi Libat Urus Program Cyber Copyright Enforcement (CyCORE) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan FINAS sebagai tuan rumah, bagi memperkukuh usaha membanteras cetak rompak digital dalam industri perfileman dan penyiaran.
PFM diwakili oleh Dato’ Ayu Puteh, Pengerusi Biro Cetak Rompak PFM; En. Afzel Hakimi, Ahli Jawatankuasa Biro Cetak Rompak PFM; serta Zahrin Aris.
Program CyCORE menyediakan mekanisme penguatkuasaan melalui sekatan laman web (site blocking) dan penurunan kandungan digital (content removal) bagi melindungi hak cipta serta kepentingan pemilik kandungan.
Berdasarkan slaid pembentangan KPDN, bagi tempoh 2022 hingga 2026, sebanyak 31 filem telah dilindungi, 63 pautan kandungan diturunkan dan 17 laman web dikenakan sekatan. Sementara itu, sebanyak 5,531 tindakan site blocking direkodkan bagi tempoh 2021 hingga 2026.
PFM menggalakkan ahli-ahli yang memenuhi kriteria kelayakan supaya memanfaatkan mekanisme perlindungan ini serta menyalurkan aduan berkaitan cetak rompak digital melalui saluran rasmi yang bersesuaian.
Slaid pembentangan Program CyCORE turut disertakan sebagai bahan rujukan kepada ahli-ahli PFM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan, prosedur permohonan dan mekanisme penguatkuasaan.
PFM komited untuk terus bekerjasama dengan KPDN, FINAS, SKMM dan pihak berkaitan bagi memperkukuh perlindungan hak cipta serta menjaga kepentingan penerbit filem tempatan.
#PFM #CyCORE #AntiCetakRompak #PerlindunganHakCipta #IndustriPerfilemanMalaysia